`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, February 28, 2015

Iskandar Malaysia - 'China Town' terbesar di Malaysia?


Iskandar Malaysia milik siapa? Nasib anak bandar Malaysia terpinggir kerana pembangunan hartanah yang hanya memberi manfaat kepada warga asing

Selepas membaca laporan khas Sinar Harian tentang pembangunan di Iskandar Malaysia pada minggu lepas, saya rasa satu fakta penting telah diabaikan, iaitu bukan sahaja nasib kaum Melayu bandar terpinggir dalam isu pemilikan rumah. Sebenarnya, semua anak Malaysia yang telah lama menetap di Johor Bahru dan wilayah Iskandar berasa, pembangunan hartanah sekarang tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka.

Kita tidak boleh menafikan bahawa, pembangunan pesat Wilayah Iskandar menambah peluang perkerjaan dan pelaburan antara golongan muda tempatan serta meningkatkan pendapatan golongan pekerja.

Peningkatan pendapatan pula tidak seimbang dengan peningkatan harga hartanah dan kos sara hidup dalam Wilayah Iskandar. Melihat kepada keadaan pasaran hartanah Iskandar Malaysia sekarang, semua orang tahu bahawa golongan muda menghadapi masalah untuk membeli sebuah rumah mampu milik.

Malah, keadaan sebenarnya lebih teruk daripada apa yang kita fikirkan. Menurut jawapan yang saya perolehi dalam sidang dewan yang lalu, sebanyak 7,830 unit hartanah dibeli oleh warga asing dalam tahun 2014 berbanding dengan 6,824 unit dalam tahun 2013.

Warga Singapura masih merupakan negara tertinggi dalam kalangan pembeli hartanah, iaitu 4,314 unit. Walau bagaimanapun, bilangan hartanah yang dibeli oleh warga Singapura telah berkurang sebanyak 20% dalam tahun 2014 berbanding dengan tahun 2013.

Statistik yang paling mengejutkan adalah peningkatan bilangan hartanah yang diperolehi warga Republik China. Bilangan hartanah yang dibeli oleh warga China meningkat sebanyak 477% daripada 436 unit dalam tahun 2013 ke 2078 unit dalam tahun 2014.

Dengan arus perkembangan sebegini, anak muda Malaysia terus hilang tempat tinggal dalam Wilayah Iskandar. Ini kerana lokasi perdana bandar yang dimiliki pemaju swasta hanya membina rumah mewah untuk pemilik warga asing.

Bilangan rumah mampu milik yang akan dibina oleh kerajaan tidak cukup kalau berbanding dengan bilangan rumah milik warga asing. Menurut jawapan dalam persidangan DUN bulan Jun tahun 2014, kerajaan hanya membina 2,150 unit rumah mampu milik seluruh negeri dari Mei 2015 hingga Mei 2014.

Untuk pembinaan jangka masa sederhana, rumah mampu milik yang dalam bentuk pembinaaan untuk tempoh 2013 hingga 2016, hanyalah sebanyak 11,600 unit sahaja. Walaupun pemaju swasta telah menjual sebanyak 21,797 unit rumah mewah kepada warga asing bagi tempoh 2009 hingga 2014.

Anak Malaysia yang tinggal di bandar tidak menolak pembangunan, namun kerajaan seharusnya menjaga kepentingan rakyat sendiri terlebih dahulu. Lokasi perdana tidak sepatutnya dijual kepada pemaju warga asing yang hanya membina rumah mewah untuk warga asing.

Manakala golongan pendapatan sederhana dan rendah terpaksa tinggal jauh dari pusat bandar, malah terpaksa membeli kenderaan sendiri kerana kerajaan tidak menyediakan fasiliti pengangkutan awam secara menyeluruh berhampiran tempat tinggal mereka.

Isu peminggiran dalam pembangunan pesat Wilayah Iskandar bukan isu satu kaum sahaja, ia sebenarnya sebuah isu yang cukup besar dan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia yang tinggal di Johor Bahru tanpa mengira kaum.

Saya mendesak kerajaan negeri serta persekutuan memastikan bahawa, rumah mampu milik untuk golongan pendapatan sederhana dan rendah seharusnya dibina berdekatan lokasi perdana. Selain daripada itu, pengangkutan awam perlu disediakan terlebih dahulu untuk meringankan beban hidup serta mengubah nasib golongan pendapatan sederhana dan rendah.

Wong Shu Qi
PENGARAH POLISI DAP JOHOR & ADUN SENAI
Kenyataan media oleh Wong Shu Qi di Johor Bahru pada hari Khamis, 26 Februari 2015

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.